Thursday 26 March 2009

Persembahan Padang 2004 - Belait Indah Di Lembah Intan - Padang BSRC Seria



Di bawah pimpinan Pegawai Daerah Belait, Masyarakat dan penduduk Daerah Belait telah berjaya menghidangkan persembahan hiburan yang penuh dengan pengertian, pujian dan tanda menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Raja dan Pemimpin yang bijaksana memerintah negara dengan adil lagi berhikmah. Hasil dari kepimpinan itu rakyat telah berjaya menjulang diri hingga menjadi rakyat yang terpelajar, berpendidikan, setia dan berjiwa waja. Dengan kapasiti serta kualiti ini lah wujudnya penghasilan negara yang terdiri dari minyak, gas dan lain-lain sehingga negara menjadi makmur. Namun untuk menjana usaha menuju kecemerlangan dan kegemilangan maka nilai tambah harus dimiliki terlebih dahulu.

Persembahan Padang kali ini telah mengambil INTAN sebagai contoh tentang nilai, kerana Intan biar dimana pun letaknya pasti ia tetap bernilai tinggi, berharga mahal dan terkenal tentang ketahanannya. Biar ia dihimpit dengan beban yang seberat mana pun ia tidak akan hancur. Rahasia intan menjadi begitu kuat dan bernilai ialah kerana ia berasal dari butiran pasir biasa saja tetapi berada di bawah tanah yang mendapat tekanan beribu-ribu p.s.i dan setelah beberapa lama iapun bertukar menjadi benda yang tahan, benda yang kuat dan Indah. Apabila ia berjaya menjadi Intan, maka di mana saja ia berada ia tetap bernilai. Waima ia diletak didalam najis sekalipun orang pasti berusaha mendapatkannya, nilainya tetap tidak menurun. Itulah Intan bak kata pepatah "Kaca bercahaya, Permata Indah, Berlian Berharga Intan juga yang termulia, bila jatuh kesemuanya maka kaca hancur berderai, permata hilang nama, berlian kurang berharga tetapi intan jua yang sempurna.

Begitulah rakyat melihat Raja itu Ibarat Intan dan rakyat selaku pendukung cita-cita, aspirasi dan inspirasi negara harus berusaha menambah nilai agar mampu menjadi Manusia Intan seperti mana yang telah ditunjuk-ajar melalui titah dan tauladan kepimpinan Baginda yang bijaksana.

Intipati yang disebutkan ini telah di ilustrasikan dalam bentuk sketsa persembahan Padang yang disertai oleh 3000 orang.

Persembahan ini menampilkan 200 penuntut yang mengambil alih peranan juruhebah dengan menyampaikan urutan flow persembahan secara Choral Speaking. Selain dari berbagai koreografik tarian yang menarik, para peserta juga telah membuat formasi Intan yang diperagakan secara rebah Domino dan Human Graphic.

Nilai tambah yang memukau para penonton persembahan tersebut ialah lagu-lagu yang dicipta dan disusun dengan sangat menarik dan 'Catchy'. Puisi dan Pantun juga di cipta termasuk lagu khas bertajuk INTAN.

Begitulah kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh rakyat dan penduduk Daerah Belait dengan adanya sokongan padu semua masyarakat di daerah ini khususnya rakan tenaga penyelaras yang meneraju pengendalian dan perlaksanaan yang diketuai oleh Dr. Hj Harun Mokti, Yang Di-Pertua PEMBELA.

No comments: